Saturday, May 24, 2014

KAJIAN TINDAKAN KATA PINJAMAN BAHASA INGGERIS

ABSTRAK
     Menurut Kemmis dan McTaggart (1988), kajian tindakan ialah inkuiri yang berbentuk refleksi kendiri dan dilakukan secara kolaboratif bagi menambahbaik atau memperbaiki amalan mereka sendiri dengan melakukan perubahan dan mempelajarinya akibat daripada perubahan tersebut. Kajian tindakan adalah merupakan satu proses mengkaji semula setiap masalah yang berlaku di dalam kelas. Menurut Murray (2005) dan Macintyre (2000), kajian tindakan adalah satu proses kendiri secara sistematik ke atas amalan semasa. Kajian ini akan dilakukan bagi mencari penyelesaian masalah yang berkaitan supaya guru dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
     Hasil kajian ini adalah hasil pemerhatian kepada kelemahan murid menyebut perkataan pinjaman bahasa Inggeris. Murid yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada murid tahun 4A SK Kuala Gula, Kuala Kurau, Perak iaitu seramai 3 orang sahaja. Tinjauan awal pernah dilakukan ketika saya meminta mereka menyenaraikan perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang terdapat di dalam petikan yang diberikan.
     Berdasarkan pemerhatian saya, murid-murid ini sukar untuk mengenali dan membezakan perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang mengikut sebutan dan yang mengikut ejaan. Ini menyebabkan mereka sukar untuk menulis semula perkataan-perkataan tersebut apabila latihan ejaan dilakukan di dalam kelas walaupun telah diajar menggunakan teknik hafalan.



1.0 REFLEKSI  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU

     Saya mengajar matapelajaran Pendidikan Islam bagi tahun 4. Pelajaran Jawi adalah merupakan salah satu bidang di dalam Pendidikan Islam. Buku teks juga ditulis dengan tulisan jawi. Menyedari hakikat ini, semestinya setiap murid perlu menguasai pelajaran jawi iaitu dapat membaca dan menulis jawi dengan baik. Saya dapati masih terdapat murid tahun 4 tidak dapat mengeja dan membezakan perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang dieja mengikut sebutan dan juga mengikut ejaan. Punca mereka gagal membezakan dan mengeja sebutan ini kerana mereka tidak membuat ulangkaji di rumah dan tiada galakan daripada rumah.
      Pelajaran Jawi adalah merupakan salah satu subjek penting yang ada di dalam peperiksaan Sijil Pendidikan Islam apabila mereka berada di tahun 6 kelak. Kegagalan mereka membaca dan mengeja dengan baik akan menyebabkan kemungkinan yang besar mereka akan gagal di dalam peperiksaan tersebut. Mengikut sukatan pelajaran Pelajaran Jawi bagi murid tahun 6, penekanan diberikan kepada menulis dua jenis khat iaitu khat nasakh dan khat raq’ah. Mereka tidak lagi mempelajari perkataan pinjaman bahasa Inggeris ini dan juga yang lain. Oleh yang demikian itu adalah menjadi tanggungjawab setiap murid menguasai perkataan pinjaman Bahasa Inggeris ini.
     Kurangnya penguasaan jawi di kalangan murid adalah berpunca dari kurangnya penekanan dan kesedaran daripada pihak penjaga. Mereka kurang mengambil berat sekiranya anak-anak mereka gagal dalam mata pelajaran Jawi. Selain itu, sikap murid sendiri yang kurang berminat dengan matapelajaran ini. Mereka beranggapan bahawa pelajaran ini tidak penting berbanding dengan matapelajaran UPSR. Oleh yang demikian itu, saya telah cuba mencari jalan penyelesaian demi memantapkan penguasaan jawi di kalangan mereka.

2.0 ISU KEPRIHATINAN
     Sepanjang tempoh saya bertugas sebagai guru Pendidikan Islam, saya dapati terdapat di kalangan murid-murid yang bermasalah dalam membaca dan menulis tulisan jawi dengan betul termasuklah perkataan-perkataan pinjaman Bahasa Inggeris. Ini telah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk membuat kajian tindakan.
     Kajian tindakan ini dilakukan berfokus kepada kelemahan murid untuk mengeja dan membezakan perkataan pinjaman Bahasa Inggeris yang dieja mengikut sebutan dan yang mengikut ejaan. Kegagalan mereka membaca tulisan jawi akan menyebabkan mereka sukar untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan Pendidikan Islam yang mana kini dicetak dalam tulisan jawi sahaja.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

3.1       Objektif Am
Kajian ini bertujuan untuk membantu murid-murid mengenal pasti perkataan-perkataan pinjaman Bahasa Inggeris yang terdapat di dalam kebanyakan petikan.

3.2       Objektif Khusus
            3.2.1   Murid dapat mengenal pasti perkataan pinjaman Bahasa
Inggeris
            3.2.2   Murid dapat mengeja dan menulis perkataan pinjaman Bahasa
Inggeris
            3.2.3   Murid dapat membanding beza perkataan pinjaman Bahasa
Inggeris yang dieja mengikut sebutan dan juga yang dieja
mengikut bunyi.

4.0       KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran terdiri daripada 3 orang iaitu murid tahun 4 Sekolah Kebangsaan Kuala Gula, Kuala Kurau, Perak. Terdapat 2 orang murid perempuan dan  seorang murid lelaki. Mereka lemah dalam mengingati dan membandingbezakan cara menyebut dan mengeja perkataan pinjaman Bahasa Inggeris ketika membuat latihan individu di rumah yang saya berikan selepas pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

5.0 PERLAKSANAAN KAJIAN

5.1  Tinjauan Masalah
            i - Pemerhatian
 Hasil  pemerhatian saya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang lepas saya dapati murid-murid ini lemah dalam mengenalpasti dan membandingkan beza ejaan apabila latihan ejaan dibuat.

ii -Temubual
Kaedah lain yang saya lakukan adalah melalui temubual dengan murid yang telah dikenal pasti tidak menguasai perkataan pinjaman Bahasa Inggeris ini secara individu. Secara tidak langsung temubual ini dapat membantu saya mengetahui masalah yang murid-murid ini hadapi.
iii - Latihan
·         Aktiviti lembaran kerja iaitu mengasingkan perkataan pinjaman Bahasa Inggeris yang dieja mengikut sebutan dan dieja mengikut ejaan.
·         Latihan ejaan iaitu menulis perkataan tanpa merujuk mana-mana buku atau nota.

5.2  Analisis Tinjauan Masalah

            i – Pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan sepanjang pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan saya dapati murid-murid ini sukar untuk mengenalpasti dan membandingkan beza ejaan yang mengikut sebutan dan mengikut ejaan .
Contoh:
Perkataan pinjaman Bahasa Inggeris
Mengikut sebutan
Mengikut ejaan
Bot
PÌI

Kompleks

p ¹Î¼Œ¿Ì·
Faks
p ¹¯

Universiti

ÏNÎmi”ÎÃÌÍ
Kek
¹Î·

Televisyen

År͔μÎM
Glob
L̼™

   
     Murid-murid sukar untuk mengenalpasti perkataan yang manakah perlu dieja mengikut sebutan dan mengikut ejaan. Seperti mana yang kita maklumi bahawa perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang terbentuk dari satu suku kata hendaklah dieja mengikut ejaan manakala yang lebih daripada dua suku kata hendaklah dieja mengikut bunyi atau sebutan..

            ii -  Hasil temubual dijalankan seperti berikut:
Dalam laporan kajian ini saya memaparkan temubual yang telah dijalankan.

Dialog 1
Guru   : Kenapa kita perlu belajar pelajaran jawi?
Murid  : Untuk memudahkan kita membaca petikan di dalam tulisan jawi
Guru   : Adakah kamu tahu perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris?
Murid  : Tahu sedikit sahaja.
Guru   : Bolehkah kamu mengenal pasti perkataan pinjaman bahasa
         Inggeris yang dieja mengikut ejaan?
Murid  : Tidak tahu.
Guru   : Adakah sesiapa di rumah yang mengajar kamu tentang ejaan jawi?
Murid  : Tidak.
.
Dialog 2
Guru   : Kenapa kita perlu belajar perkataan pinjaman bahasa Inggeris?
Murid  : Supaya dapat membaca teks jawi dengan betul.
Guru   : Sebutkan perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang kamu tahu?
Murid  : Bot, kek, telefon, televisyen .
Guru   : Adakah kamu tahu perkataan yang manakah dieja mengikut
 sebutan atau ejaan?
Murid  : Tidak tahu
Guru   : Adakah sesiapa di rumah menunjuk ajar kamu tentang pelajaran
 jawi ini?
Murid  : Saya ada belajar dengan kakak saya tetapi tidak diterangkan
 perbezaan tersebut.

Dialog 3
Guru   : Kenapa kita perlu belajar pelajaran jawi?
Murid  : ??? (Diam sahaja)
Guru   : Adakah kamu tahu perkataan-perkataan pinjaman bahasa
 Inggeris ?
Murid  : Tahu sedikit sahaja.
Guru   : Apakah perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang kamu
 tahu?
Murid  : Bot, beg, van.
Guru   : Adakah sesiapa di rumah yang mengajar kamu tentang ejaan jawi?
Murid  : Tidak, saya hanya belajar di sekolah sahaja.


            iii -  Latihan

Hasil daripada latihan yang diberikan di rumah serta ujian lisan yang telah dijalankan, saya dapat mengenal pasti bahawa tiga orang murid ini perlu dibantu supaya dapat mengenal pasti dan membezakan perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang dieja mengikut sebutan dan juga mengikut ejaan.

5.3       Tindakan Yang Dijalankan
     Saya telah menjalankan tindakan berdasarkan analisis yang telah dibuat. Langkah pertama adalah dengan menasihati murid-murid supaya rajin membaca buku atau majalah atau petikan di dalam tulisan jawi. Tindakan seterusnya adalah dengan membuat latih tubi bagi ejaan perkataan pinjaman bahasa Inggeris. Apabila perkataan pinjaman bahasa Inggeris  telah dikuasai maka lebih mudah untuk murid berkenaan membuat perbezaan ejaan di antara ejaan mengikut sebutan dengan mengikut ejaan. Selain itu, saya juga menyediakan kad imbasan yang mengandungi perkataan pinjaman bahasa Inggeris dan murid dapat mengkelaskannya.

5.4   Perlaksanaan Tindakan
Guru menjalankan dua aktiviti bagi membantu ketiga-tiga murid ini supaya dapat menguasai perkataan pinjaman bahasa Inggeris serta dapat mengkelaskannya mengikut sebutan dan mengikut ejaan.
i -  Perlaksanaan Aktiviti 1 (Permainan Serasi Bersama)

     Setiap orang murid dibekalkan dengan set perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris. Susunannya kad imbasan ini tidak teratur. Oleh itu setiap murid perlulah mencari perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris dalam himpunan kad yang mengandungi pelbagai perkataan.  Kemudian, mereka diminta menampalkannya di ruangan yang telah disediakan. Kad perkataan bahasa Inggeris ini hendaklah diletakkan mengikut kategori yang dieja mengikut sebutan dan juga mengikut ejaan. Murid yang berjaya mengklasifikasikannya diberikan hadiah. 

ii – Perlaksanaan Aktiviti 2 (Permainan Mengumpul Harta Karun)

     Guru menyediakan dua buah kotak yang tertulis perkataan ‘Dieja Mengikut Sebutan’ dan ‘Dieja Mengikut Ejaan’. Guru menunjukkan tiga meja yang mengandungi perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris dengan tiga warna yang berbeza. Setiap murid ditetapkan mencari perkataan pinjaman bahasa Inggeris mengikut warna tema yang telah ditetapkan. Kemudian mereka dikehendaki memasukkannya ke dalam kotak mengikut kategori yang telah ditulis di kotak tersebut. Perbezaan warna ini memudahkan guru menilai murid yang mana dapat menguasai dan yang tidak dapat menguasai isi pelajaran. Murid yang berjaya membuat klasifikasi diberikan hadiah.

5.5 Refleksi Kerja

     Setelah aktiviti satu dan dua dilakukan, saya dapati terdapat perubahan positif  ke atas murid-murid. Sebelum menggunakan kedua-dua permainan ini, murid saya agak sukar membezakan perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang dieja mengikut sebutan dan juga mengikut ejaan. Setelah aktiviti ini dijalankan, murid-murid telah dapat mengenal pasti dan mengejanya dengan betul. Kesemua aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar. Murid telah menunjukkan keyakinan diri yang tinggi tambahan tumpuan hanya diberikan kepada mereka sahaja. Oleh sebab itu mereka dapat mengikuti aktiviti yang dijalankan dengan jaya.

Berikut adalah pencapaian dalam ujian sebelum dan selepas aktiviti ini dijalankan.
BIL
NAMA
MARKAH SEBELUM
MARKAH SELEPAS
1.
MOHAMAD YUSRI
28
45
2.
NOR INSYIRAH
34
48
3.
NOORHAYATI
40
51

·         Rumusan Pemerhatian
     Hasil daripada kajian ini dapat saya lihat bahawa murid-murid telah menunjukkan minat melaksanakan aktiviti yang dirancang. Mereka kelihatan seronok ketika membuat aktiviti ini. Ini dapat meningkatkan pengetahuan mereka di samping itu dapat memupuk rasa suka untuk membaca jawi.

6.0 CADANGAN TINDAKAN SETERUSNYA

     Kesemua aktiviti yang dijalankan dapat membantu menjayakan kajian tindakan yang saya jalankan ke atas murid-murid berkenaan. Saya bercadang untuk meneruskan program ini terhadap murid-murid yang menghadapi masalah yang sama. Penguasaan murid-murid terhadap perkataan-perkataan pinjaman bahasa Inggeris ini dapat membolehkan mereka mempelajari tajuk seterusnya yang berkaitan dengan kemahiran membaca dan menulis jawi dengan lebih mudah. Seterusnya saya ingin meningkatkan pengetahuan murid berkenaan dengan tajuk perkataan-perkataan pinjaman bahasa Arab pula. Dengan itu, murid-murid tidak lagi menghadapi masalah membaca dan menulis jawi dengan baik.

7.0 PENUTUP
     Sebagai seorang guru, sememangnya kita akan berhadapan dengan pelbagai kerenah, ragam dan daya intelek dari kalangan murid-murid. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan prestasi mereka agar menjadi lebih baik dari sebelumnya. Walau apa pun usaha yang berterusan hendaklah dilakukan agar semua  murid dapat menerima pendidikan berkualiti dan selaras berdasarkan Kurikulum Pendidikan Kebangsaan.





BIBLIOGRAFI

1. Buku manual Kajian Tindakan, Bahagian Perancangan & Penyelidikan
Dasar Pendidikan.Kementerian Pelajaran Malaysia.

2. Buku Teks KSSR Pendidikan Islam Tahun 4 . Dewan Bahasa dan Pustaka

3. Dokumen Standard Prestasi Kurikulum (DSPK) Pendidikan Islam Tahun 4.
Kementerian Pelajaran Malaysia

4. Matlob (2003), Modul Cekap Jawi: Pandai Jawi Pandai Khat, Penerbitan 
Matlob, Kuala Lumpur


1 comment:

  1. assalamualaikum....boleh saya dptkn nama pgkaji kajian tindakan di atas? sy nk ambil sbagai rujukan...syukran

    ReplyDelete